
Ada cerita menarik di sebalik ekspresi wajah terkejut wanita bernama Helen Johnson ini.
Awal bulan lalu, dia dan keluarganya yang terdiri daripada dua anak
perempuan, seorang anak saudara dan dua cucu terpaksa berlapar selama
dua hari kerana tidak mampu untuk membeli makanan.
Berbekalkan wang sebanyak $1.25 (RM4.37), Helen pergi ke sebuah pasaraya dengan harapan dapat membeli beberapa biji telur.
Malangnya, wang tersebut tidak mencukupi sehingga memaksanya menyembunyikan lima biji telur di dalam poket bajunya.
Ternyata Helen bukanlah ‘pencuri hebat’ kerana telur tersebut pecah
sekaligus menyebabkan dia ditahan dan pihak pasaraya telah menghubungi
polis.
Bagaimanapun, pegawai yang dihantar ke lokasi, William Stacy mengambil
keputusan yang mengejutkan iaitu dengan tidak menahan wanita itu.
Sebaliknya, dia membeli satu karton telur untuk Helen selepas berbincang dengan pengurus pasaraya itu.
“Dia mula menangis, sangat beremosi dan memohon maaf. Dia juga cuba memberi wang yang ada padanya kepada saya,” kata William.
Seminggu kemudian, Helen dikejutkan dengan kehadiran pegawai polis itu
bersama beberapa lagi pegawai yang lain di kediamannya di Tarrant,
Alabama.
Kali ini, mereka membawa dua trak penuh makanan hasil sumbangan orang ramai selepas video kejadian di pasaraya itu tersebar.
“Kali terakhir saya melihat makanan penuh di rumah ialah ketika
tinggal di rumah nenek sewaktu berusia 12 tahun. Saya menangis sepanjang
hari,” ujar Helen penuh kesyukuran.


No comments:
Post a Comment