Gambar hiasan |
Saya mahu berkongsi peristiwa yang masih mencengkam
hidup walaupun ia sudah lama berlaku. Memang sukar untuk saya maafkan diri ini
dan rasa bersalah sentiasa bermain difikiran apabila mengingatkan saat-saat
itu.
Saya dan suami adalah pasangan yang romantis malah menjadi
perbualan rakan-rakan di pejabat. Walaupun sibuk dengan tugas harian,
tanggungjawab melayan suami dan menguruskan anak-anak, saya lakukan dengan
sempurna.
Suami memahami tanggungjawab di rumah dan sentiasa membantu
menguruskan rumah tangga. Kami sering mengerjakan solat berjemaah dan saya
gembira melihat hubungan dalam keluarga saya.
Walaupun sesibuk mana tugas di pejabat, tanggungjawab
melayan suami dan anak-anak tidak pernah diabaikan. Saya bersyukur suami
memahami saya dan sentiasa bertolak ansur. Ini menjadikan saya semakin sayang
kepadanya.
Memang dalam kehidupan, kita tak dapat melawan takdir dan
ketentuan Ilahi. Sebagai manusia, kita hanya mampu merancang, Allah jua yang
menentukan.
Hari itu, Isnin. Saya masih ingat, saya ke pejabat awal pagi
kerana banyak urusan yang perlu diselesaikan selain temu janji dengan beberapa
pelanggan yang perlu dibereskan.
Hari itu, saya pulang lewat ke rumah, biasanya jam 6 petang,
saya sudah ada di rumah. Ketika saya sampai ke rumah, azan dari masjid berhampiran
berkumandang. Saya lihat suami sudah bersiap-siap untuk pergi menunaikan solat
Magrib. Begitu juga anak-anak saya sudah mandi dan riang bersama bapa mereka.
saya lihat suami saya amat gembira petang itu.
Saya begitu terhibur melihat telatah mereka kerana suasana
seperti itu jarang berlaku pada hari bekerja. Maklumlah masing-masing penat.
Suami sedar saya amat penat hari itu. Oleh itu, dia meminta agar saya tidak
memasak, sebaliknya mencadangkan makan di luar. Saya dengan senang hati
bersetuju.
Selepas menunaikan solat Magrib, kami keluar ke sebuah
restoran kira-kira lima kilometer dari rumah. Di restoran, kami sekeluarga
berbual panjang, bergurau senda dan usik-mengusik, memang seronok bersama.
Macam-macam yang dibualkan malah saya lihat suami begitu ceria melayan tiga
anak kami yang berusia tujuh hingga 12 tahun.
Saya dapat rasakan kemesraan suami luar biasa, cara dia
melayan dan ketawa memang bukan seperti hari biasa. Dalam hati terpancar rasa
bangga kerana mampu membahagiakan suami tersayang. Saya melihat jam tangan.
"Sudah jam 12.30 tengah malam, bang. Dah lewat ni, ayuh
kita pulang," kata saya.
Suami tanpa banyak soal memanggil pelayan dan membayar bil
makanan dan minuman. Kami tiba di rumah jam 12.50 tengah malam. Anak-anak yang
keletihan terus masuk tidur.
Saya memang terlalu mengantuk apatah lagi selepas menikmati
hidangan lazat di restoran. Mata pun seperti berat dibuka lagi. Ketika saya
hampir melelapkan mata, suami membelai lembut rambut dan menc-ium pipi saya.
Saya membuka mata dan hanya tersenyum.
Dalam hati, saya memang mahu melayan kehendak suami tetapi
hati saya berkata, esoklah, mata terlalu mengantuk, esok masih ada. Saya
memberitahu suami terlalu mengantuk dan tidak boleh melayan kehendaknya. Saya
menc-ium suami dan mahu melelapkan mata.
Bagaimanapun, saya pelik kerana suami masih merangkul tubuh
saya, seolah-olah terlalu berat untuk melepaskan. Saya membuka mata dan melihat
wajah suami yang berseri-seri. Hairan saya kerana suami belum mengantuk,
sedangkan dia juga keletihan.
Dia menarik saya lebih dekat dan membisikkan di telinga
bahawa itu permintaan terakhirnya. Namun, dek terlalu letih dan tidak
memikirkan perkara itu terlalu penting ketika itu, saya seolah-olah terus
melelapkan mata tanpa sepatah bicara. Perlahan-lahan, suami melepaskan tangan
yang merangkul saya.
Esoknya, perasaan saya agak tidak menentu. Seperti ada
pekara yang tidak kena. Saya menelefon suami, tetapi tidak berjawab.
Sehinggalah saya dapat panggilan yang tidak dijangka daripada pihak polis yang
mengatakan suami saya terbabit dalam kemalangan dan meminta saya datang segera
ke hospital.
Hati saya seperti mahu meletup ketika itu. Saya bergegas ke
hospital tetapi segala-galanya sudah terlambat. Allah lebih menyayangi suami
dan saya tidak sempat betemunya. Meskipun reda dengan pemergian suami tetapi
perasaan terkilan dan bersalah tidak dapat dikikis daripada hati saya kerana
tidak melayaninya pada malam terakhir hidupnya di dunia ini.
Hakikatnya itulah pahala terakhir saya sebagai seorang
isteri, dan yang lebih saya takuti jika suami tidak reda terhadap saya pada
malam itu, maka saya tidak berpeluang lagi untuk meminta maaf daripadanya.
Teringat Sabda Rasulullah s.a.w. yang saya baca dalam buku
agama, 'Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya, tiada seorang suami yang mengajak
isteri tidur bersama di tempat tidur, tiba-tiba ditolak isterinya, maka
malaikat yang di langit akan murka kepada isterinya itu hingga dimaafkan
suaminya'.
Sehingga kini, setiap kali saya terkenangkan suami, air mata
akan mengalir ke pipi. saya sentiasa memohon keampunan daripada Allah supaya
diampunkan kesalahan saya."
No comments:
Post a Comment