Sudah lima tahun bergelumang dengan dosa, akhirnya dengan izin Tuhan pintu hati terbuka untuk berubah dan bertaubat.
SABAK BERNAM – “Lima tahun hidup saya bergelumang dengan dosa dan
Alhamdulillah, ALLAH bukakan hati saya untuk berubah,” kata seorang
bekas pelatih Rumah Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Hazumi (bukan nama
sebenar), 24.
Hazumi anak sulung daripada enam beradik berkata, dia mula terjebak
dengan gejala sosial sejak dari tingkatan tiga lagi apabila sering
mengikut teman lelakinya merempit di sekitar Kuala Lumpur.
Menurutnya, bermula dari situ, dia semakin ‘liar’ dan sering pulang
lewat malam hingga pernah terlanjur beberapa kali dengan teman
lelakinya.
gambar hiasan |
“Jiwa muda merasakan inilah dunia yang saya cari. Saya dah besar
panjang, inginkan kebebasan dan berseronok dengan teman lelaki yang
memahami keinginan saya,” katanya kepada Sinar Harian.
Walaupun sering dimarahi ibu bapanya, Hazumi masih terus bersosial,
tetapi dia yang cepat bosan dengan sesuatu aktiviti itu mula
meninggalkan dunia rempit dan terjebak dengan budaya 'skin' dan 'punk'.
“Akibat pengaruh kawan juga, saya jadi gengster dan mula ikut kumpulan
tertentu dengan perwatakan diri saya pun berubah. Rambut saya pacak, dan
kalau rasa tak puas hati saya juga sanggup bergaduh,” katanya.
Hazumi berkata, setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia
ditawarkan menyambung pengajian peringkat diploma dalam jurusan
pengurusan perhotelan di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
“Langkah saya makin panjang. Saya praktikal di hotel terkemuka.Semasa
cuti semester saya bekerja sambilan di sebuah hotel dan pernah menerima
bayaran daripada pelanggan untuk khidmat seks,” katanya.
Katanya, dia tidak pernah serik dengan perbuatannya itu sehinggalah
bapanya tekad mengambil keputusan menghantarnya ke Baitul Ehsan agar
Hazumi dapat kembali ke pangkal jalan dan tidak terjebak dengan aktiviti
tidak bermoral.
“Mulanya memang saya tak nak datang ke sini (Baitul Ehsan). Tapi bapa
cabar saya, kalau saya boleh ubah perangai dia akan keluarkan saya
dengan cepat.“Masuk saja sini saya demam seminggu. Saya tak bebas, tapi
lama-kelamaan saya makin selesa dan seronok dengan rakan-rakan di sini.
“Saya di sini hanya tiga bulan. Ketika melangkah keluar, hati jadi sebak
dan sayu kerana terpaksa tinggalkan rakan-rakan,” katanya.
Menurutnya, sejak dari itu, dia tekad untuk berubah dan menyambung
pengajiannya dalam bidang kemahiran di Pekan, Pahang sebelum bertemu
jodoh dengan seorang duda yang sememangnya lelaki terbaik yang
membimbingnya ke jalan kebenaran.
“Kalau tak kerana ibu bapa saya yang suruh masuk ke Baitul Ehsan, tak
tahulah kehidupan saya pada masa sekarang. Saya juga bersyukur kerana
mendapat suami yang dapat menerima saya seadanya,” katanya.
No comments:
Post a Comment