BANGKOK – Belajar daripada bencana banjir paling
teruk di selatan negara itu akhir tahun lalu, kerajaan Thailand pada
Rabu mengambil tindakan drastik membuat persiapan awal menjelang
ketibaan musibah kemarau terburuk dalam sejarah negara.
Kabinet Thailand
turut meluluskan belanjawan kecemasan bernilai 7.8 bilion baht (RM867
juta) bagi mengekang tempias kemarau di utara negara itu daripada
menjadi lebih teruk, di samping menangani masalah kekurangan bekalan air
pada masa darurat.
Dana luar jangka
tersebut akan digunakan bagi kerja-kerja penyediaan tangki-tangki air
bergerak selain pemasangan pam-pam air statik di kawasan-kawasan yang
pernah terjejas teruk akibat bencana kemarau terburuk lebih sedekad
lalu.
Thailand pada masa
ini pun sudah berhadapan dengan masalah kemarau teruk di lapan daripada
76 wilayah di negara tersebut dan ia dijangka merebak ke lebih banyak
wilayah dalam tempoh terdekat pada bila-bila masa sahaja.
Jabatan Saliran Diraja Thailand baru-baru ini telah
mengeluarkan amaran tahap kritikal, bahawa negara tersebut akan
berdepan dengan musim kemarau yang paling teruk, dalam masa lebih
sedekad yang diramal berlaku pada awal tahun ini.
Menurut pejabat
ekonomi dan pertanian kebangsaan, pada musim kemarau panjang itu
Thailand akan cuba mengurangkan eksport ke negara-negara yang menjadi
pengimport utama hasil produk taninya terutama beras sebanyak 30
peratus.
Langkah jangka
pendek itu terpaksa dibuat bagi memastikan bekalan makanan ruji tersebut
kekal cukup untuk menampung keperluan domestik lebih 67 juta
penduduknya sendiri daripada dijual di pasaran seluruh dunia.
Kementerian
Pertanian Thailand menganggarkan 9.2 juta hektar tanah sawah yang selama
ini menghasilkan lebih 30 juta tan beras setahun akan terjejas teruk
akibat fenomena kemarau panjang luar biasa pada tahun ini.
Thailand ialah
pengeksport terbesar beras dunia dengan 11 juta tan bernilai 175 bilion
baht (RM19.4 bilion) dijual di pasaran global tahun lalu, angka
tertinggi dalam sejarah dan meningkat 64 peratus berbanding tahun 2013. –
Agensi
No comments:
Post a Comment