Hujan tanpa henti selama 10 hari pada 1926, mengakibatkan banjir besar
atau lebih dikenali sebagai Bah Merah di kalangan penduduk Kelantan
kerana turut meragut nyawa, memusnahkan tanaman dan rumah
penduduk.Kira-kira 40 tahun kemudian di penghujung 1967, satu lagi
banjir besar atau Bah Merah melanda negeri Cik Siti Wan Kembang ini dan
meragut 38 nyawa dan kira-kira 537,000 atau 84 peratus penduduknya turut
terjejas.
PEGAWAI British (dari kiri) Mr Ferrier, Dr Tailor, Mr Kempdan Mr Worham berdepan banjir besar di Kota Bharu pada 1927.
Mengikut penduduk setempat nama Bah Merah diberikan berikutan banjir
yang luar biasa ini airnya berwarna kemerah-merahan kerana lumpur
daripada bahagian hulu negeri ini. Seorang warga emas, Yahya Hassan, 90,
yang masih tidak dapat melupakan kejadian banjir besar pada 1926
menceritakan warna banjir bertukar daripada warna teh susu kepada merah
kerana dipercayai ada bukit di bahagian hulu sungai runtuh dan
mengakibatkan banjir lumpur. Beliau yang berasal dari Kampung Sireh, di
sini, berkata, disebabkan hujan tanpa henti itu, kebanyakan tanaman
penduduk kampung termasuk sireh turut musnah. "Bayangkan di Bulatan
Kijang (Jalan Hamzah), air naik hingga paras lutut. Tempat itu dikira
agak tinggi daripada tebing sungai. Masa itu, kawasan Masjid Jamek
Muhammadi juga air terlalu deras sehingga melepasi kepala manusia.
"Kelantan ini, kalau dikira hampir setiap tahun air naik tetapi tidaklah
begitu teruk seperti pada 1927 dan 1967. Pada masa itu, pakcik masih
ingat memotong empat tin minyak tanah dan disambungkan dengan paku untuk
dijadikan perahu. "Masa itu masih kanak-kanak, memang seronok menaiki
perahu daripada tin itu mengelilingi kampung. Tidak takut pun
dihanyutkan air deras," katanya ketika ditemui di rumahnya, di Kampung
Kubur Kuda, di sini, semalam.
Pasir Mas - Sumber Gambar
Bah Merah pada kedua-dua tahun itu turut merosakkan masjid tertua di
Asia Tenggara, Masjid Kampung Laut yang mengakibatkan serambi serta
beberapa bahagian masjid termasuk tiang dihanyutkan ke sungai.Ketika
banjir besar itu, imam tua Masjid Pasir Pekan ketika itu, Allahyarham
Wan Ahmad Wan Abdullah dikatakan terlihat mimbar masjid hampir
dihanyutkan arus. Beliau dan beberapa orang lain berjaya
menyelamatkannya dan mimbar itu dibawa pulang ke Masjid Pasir Pekan,
Tumpat dan digunakan hingga sekarang.Pesara Kereta api Tanah Melayu
Berhad (KTMB), Ibrahim Affandi Ahmad, 77, tidak dapat melupakan kejadian
Bah Merah pada 1967 kerana kehilangan dua rakan sekerja. "Apabila air
naik di Bukit Panau, Tanah Merah, kereta api tidak boleh beroperasi.
Lima rakan sekerja, semuanya pemandu kereta api menaiki bot dari Kuala
Krai untuk ke rumah masing-masing di kuarters Tumpat. "Setiba di
Jambatan Sultan Yahya Petra, bot itu terbalik akibat terlanggar tiang
jambatan dan semua penumpangnya hanyut. "Dua dari lima rakan pakcik,
Hassan Laut dan Muhamad Yatim meninggal dunia dan mayat mereka dijumpai
keesokan harinya, masing-masing di Kampung Laut, Tumpat dan Kedai Buluh,
Pantai Cahaya Bulan. Tiga lagi pandai berenang dan selamat," katanya
yang ketika itu tinggal di kuaters kakitangan KTMB Tumpat.Bagi ratusan
penghuni rumah rakit pula di sepanjang Sungai Kelantan, pengalaman
menghadapi Bah Merah pada 1967 paling mencemaskan kerana berdepan dengan
arus deras, ribut dan angin kencang. Surirumah, Mek Som Ali, 68,
berkata dia masih ingat arwah ibunya, Wan Mah, hampir setiap masa
mengingatkannya supaya tidak keluar dari rumah kerana khuatir
dihanyutkan air deras."Makcik masih ingat, arwah ibu sering pesan,
jangan keluar rumah nanti jatuh dan mati. Memanglah, ketika itu, arus
sungai terlalu deras sehingga berombak-ombak seperti di tengah
laut."Orang dulu lain, kita sudah siap sedia setiap kali musim
tengkujuh, bekalan makanan seperti beras sudah disimpan awal-awal. Jadi,
tiada masalah.
"Bagi penghuni rumah rakit ini tiada masalah kerana rumah kami akan
turut naik mengikut pergerakan air kerana diikat dengan buluh di
bahagian bawah dan diikat dengan empat tali besar di pokok yang ada di
tebing sungai," katanya, di sini. Mek Som berkata, jiran yang tinggal di
tebing sungai, ada yang terpaksa menumpang di rumah saudara mara kerana
ketika itu tiada pusat pemindahan banjir seperti sekarang. Pada 2004,
banjir besar turut melanda Kelantan dengan menyaksikan seluruh bandar
Kota Bharu dan beberapa jajahan termasuk Gua Musang dan Kuala Krai
dinaiki air setinggi lebih dua meter. Banjir itu turut meragut 12 nyawa
dan 11,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan yang
disediakan kerajaan. Rentetan kejadian bah besar yang kerap melanda itu
menyebabkan bencana banjir musim tengkujuh sering dikaitkan dengan
Negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga ini.
No comments:
Post a Comment