Pelawak Zizan Razak memberitahu majlis perkahwinannya dengan pelakon
Emma Maembong akan diadakan secara sederhana mengikut permintaan bapa
wanita itu, pelukis terkenal Ismail Embong.
Bagaimanapun, Zizan atau nama sebenarnya, Mohd Razizan Abd Razak, 30,
berkata, dia tetap akan berlaku adil kepada masyarakat dan peminat yang
ingin menyaksikan hari bahagianya nanti.
“Andai kata saya berkahwin dengan Emma nanti, saya akan menghormati
permintaan bapanya kerana saya faham orang tua kadang-kadang lebih suka
ia dilakukan secara sederhana sahaja.
“Namun saya juga milik masyarakat dan perlu berlaku adil kepada peminat
dan masyarakat yang ingin meraikan bersama hari perkahwinan tersebut,”
ujarnya kepada mStar Online.
Zizan berkata demikian ketika diminta mengulas tentang keputusan bapa
kekasihnya iaitu Ismail Embong yang mahu majlis pernikahan anak-anaknya
dilakukan secara sederhana dan tertutup.
mStar Online pada 22 Disember lalu melaporkan, Ismail telah mengecam
majlis pernikahan anaknya Yaya Maembong dengan pelakon Wan Raja apabila
mengenepikan peranannya sebagai seorang bapa dengan mengadakan
perkahwinan cara membazir termasuklah majlis berinai yang tidak mendapat
keizinannya.
Yaya dan Wan Raja bernikah pada 12 Disember lalu.
Mengulas tentang perkara itu, Zizan berkata ia adalah hal berkaitan keluarga dan tidak perlu diperbesarkan kepada umum.
“Saya tidak boleh berpihak kepada mana-mana kerana bagi saya kedua-dua
pihak ada jawapan masing-masing. Saya tidak boleh memberi penilaian
secara peribadi kerana ia adalah hal dalam keluarga yang seharusnya
dibincangkan hanya dalam keluarga sahaja.
“Bagi saya apa yang berlaku ayah adalah tetap ayah kita walaupun baik atau buruk pun dia,” ujarnya.
Sementara itu, Zizan berkata, dia memuji sikap kekasihnya Emma Maembong
dalam menyelesaikan masalah keluarga tersebut dengan matang.
Dia dan Emma juga kini dalam proses memujuk kedua-dua belah pihak agar berbaik semula.
“Saya puji dengan sikap Emma yang matang dalam hal ini kerana dia lebih tahu dan rapat dengan kedua-dua belah pihak ini.
“Dia tahu apa yang perlu dilakukannya dalam memujuk kedua-dua belah pihak untuk berbaik,” katanya.
Sementara itu, ditanya tentang rancangan perkahwinannya dengan wanita
tersebut, Zizan berkata ia mungkin selepas semua masalah tersebut
selesai.
“Insya-Allah, Emma beritahu biar keluarganya selesai dahulu dan doakan yang terbaik sahaja buat kami,” ujarnya. – mStar Online
No comments:
Post a Comment